ISU KEBENARAN MAHKAMAH TINGGI TERHADAP
PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH OLEH GEREJA KATOLIK
Oleh :
Lajnah Keahlian dan Ulama Pelapis
dan
Majlis Pengkajian dan Penyelidikan Hukum (MPPH)
Dewan Ulama PAS Pusat
Pengenalan :
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah. Keputusan demikian dibuat dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik difailkan melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Isu ini timbul apabila pihak Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan Gereja Katolik tersebut daripada menggunakan perkataan Allah dalam versi bahasa Melayu mereka. Tajuk artikel yang ditulis sebelum ini dalam penerbitan tersebut yang menggunakan perkataan Allah ialah : Kasih Allah; Tidak Membeza-bezakan.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata, Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya. Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.
Hakim tersebut juga bersependapat dengan pemohon bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah.
Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.





